MPS, RA dan Sebuah Persimpangan Yang Dijadikan Kambing Hitam
Saya tinggal di kawasan ini hampir 30 tahun dan menggunakan persimpangan ini sejak hari pertama. Anehnya, sepanjang tempoh itu tiada pula rekod kemalangan yang membuktikan persimpangan ini begitu berbahaya sehingga perlu ditutup. Namun, hanya kerana satu kemalangan saja, tiba-tiba sekarang ia dianggap sebagai ancaman besar kepada keselamatan awam. Mungkin selepas berpuluh tahun, persimpangan ini baru "ditemui" sebagai berbahaya.
Apa yang mungkin ramai tidak sedar ialah isu ini sebenarnya tidak akan timbul sekiranya sistem kawalan keselamatan yang diperkenalkan oleh pengerusi RA dirancang berdasarkan keperluan sebenar penduduk setempat, dan bukannya semata-mata mengikut kehendak serta pandangan beliau sendiri. Malangnya, penduduk yang terkesan secara langsung nampaknya tidak diberikan pertimbangan yang sewajarnya sejak awal.
Sepanjang hari, persimpangan ini bukannya banyak sangat kenderaan. Kalau di sebelah pagi ada sedikit kesesakan, dari dulu lagi saya sudah nasihatkan pengerusi ini guna pengawal untuk mengawal trafik keluar masuk. Antara sebab kesesakan adalah kerana jalan besar terlalu sesak, dan ada kenderaan yang tidak memberi kenderaan penduduk keluar. Masing-masing mahu cepat.
Lebih menarik lagi, apabila kelemahan perancangan tersebut mula menimbulkan masalah, penyelesaiannya bukan dengan menilai semula keputusan yang telah dibuat, tetapi dengan mencari pihak lain untuk menanggung akibatnya. Dengan bantuan MPS, isu ini kini seolah-olah cuba dijadikan tanggungjawab saya untuk diselesaikan, walaupun punca asalnya bukan datang daripada saya.
Malah di sebaliknya selepas MPS menukar banyak jalan ke jalan sehala, tanpa mengkaji impaknya, ini yang berlaku:
Bila saya tunjukkan kepada MPS video ini, hendak bertanyakan kepada perancang bandar apa solusinya, pengarah kejuruteraan pula beritahu mereka akan cat lintasan zebra, semata-mata untuk tujuan menunjukkan kerja pembaikan sudah dibuat. Kalau orang atasan tanya mereka akan percaya ada kerja dibuat untuk memperbaiki persimpangan ini di mans trafik dari lima penjuru bertemu dekat satu persimpanan.
Masalah sebenar di sini adalah masalah trafik dari 5 penjuru, tetapi cadangan MPS hanya dari segi nampak buat kerja tapi tidak menyelesaikan masalah yang ditimbulkan.
Corak ini sebenarnya bukan sesuatu yang baharu. Cukuplah melihat kepada isu dua bonggol yang mengambil masa hampir tiga tahun untuk diselesaikan kerana orang mengadu kepada saya tetapi pengerusi RA itu kata bonggol-bonggol itu tidak bermasalah. Jika perkara yang begitu asas pun memerlukan tempoh yang begitu lama, tidak hairanlah apabila masalah yang berpunca daripada keputusan perancangan yang kurang teliti akhirnya berpanjangan dan terus membebankan penduduk.
![]() |
| Calar-calar ini membuktikan ada masalah dengan bonggol-bonggol ini tetapi MPS makan masa 3 tahun untuk memperbetulkannya |
Baca dua blog (blog 1 dan blog 2) ini untuk memahami kenapa selama ini saya bengang dengan MPS, tetapi memuji Majlis Bandaraya Petaling Jaya, terutama sekali Datuk Bandarnya.
Ironinya, pihak yang mencipta masalah tidak perlu menjawab mengapa masalah itu wujud pada asalnya. Sebaliknya, perhatian dialihkan kepada pihak yang mempertikaikan keputusan tersebut. Akhirnya, isu sebenar bukan lagi tentang keselamatan atau kebajikan penduduk, tetapi tentang mempertahankan keputusan yang telah dibuat walaupun kesannya jelas dirasai oleh komuniti setempat.
Jika logiknya ialah sesuatu persimpangan perlu ditutup kerana berpotensi menyebabkan kemalangan, maka banyak lagi persimpangan yang diluluskan oleh Majlis Perbandaran Selayang (MPS) sepatutnya turut menerima nasib yang sama. Contoh paling jelas ialah jalan keluar masuk stesen minyak Petronas yang terletak sangat hampir dengan persimpangan utama. Pada waktu puncak, kenderaan keluar masuk stesen minyak, bertembung dengan aliran trafik yang padat. Jika mahu bercakap soal risiko, lokasi itu jelas bukan contoh perancangan yang ideal.
Perhatikan persimpangan yang sama di sini:

Jadi persoalannya, mengapa persimpangan penduduk perlu ditutup tetapi jalan keluar Petronas kekal dibuka? Adakah faktor keselamatan hanya terpakai kepada sesetengah lokasi dan bukan kepada yang lain? Atau adakah terdapat standard keselamatan yang berbeza mengikut lokasi dan pihak yang terlibat?
Lebih menarik, jika benar persimpangan ini tidak selamat, bukankah ini secara tidak langsung menunjukkan bahawa pelan yang diluluskan oleh perancang bandar MPS selama ini juga mempunyai kelemahan? Lagipun, semua simpang, jalan keluar dan akses di kawasan ini bukan muncul sendiri. Satu lagi persimpanan adalah dekat Reseoran RBS Bistro di Aman Puri.
Lebih ironik lagi, jalan yang kini menjadi sasaran untuk ditutup sebenarnya digunakan hampir sepenuhnya oleh penduduk setempat yang sudah puluhan tahun memahami corak trafik dan keadaan persekitaran kawasan mereka. Sebaliknya, persimpangan berhampiran Petronas dan RBS Bistro di Persiaran KIP 2 menampung jumlah trafik awam yang jauh lebih tinggi, lebih sibuk, lebih kompleks dan secara logiknya mempunyai tahap risiko yang lebih besar. Namun persimpangan tersebut terus dikekalkan tanpa sebarang cadangan penutupan yang sama agresif.
Jika objektif sebenar adalah keselamatan, maka lokasi-lokasi yang membawa risiko lebih tinggi sepatutnya menjadi keutamaan. Tetapi apa yang kelihatan sekarang adalah sebaliknya. Laluan penduduk yang kurang memberi impak kepada orang luar lebih mudah ditutup, manakala persimpangan yang jauh lebih sibuk dan jelas lebih mencabar dari sudut trafik dibiarkan seperti biasa.
Keadaan ini menimbulkan persoalan sama ada keputusan yang dibuat benar-benar berasaskan data, analisis dan prinsip keselamatan yang konsisten, atau sekadar reaksi terhadap tekanan dan aduan pihak tertentu. Keselamatan tidak sepatutnya menjadi alasan yang digunakan secara terpilih. Jika satu persimpangan dianggap berbahaya berdasarkan prinsip tertentu, maka prinsip yang sama seharusnya digunakan terhadap semua persimpangan tanpa mengira lokasi atau kepentingan pihak yang terlibat.
Realitinya, jalan ini diwujudkan untuk kemudahan penduduk setempat, bukannya sebagai laluan utama orang awam. Sebaliknya, persimpangan berhampiran Petronas dan RBS Bistro yang diluluskan oleh perancang bandar MPS itu sendiri jauh lebih sibuk dan lebih rumit dari segi pergerakan trafik. Jika benar matlamatnya adalah menghapuskan risiko, mungkin di situlah sepatutnya tumpuan bermula. Tetapi nampaknya lebih mudah menutup jalan yang digunakan penduduk daripada mengakui bahawa terdapat keputusan perancangan lain yang jauh lebih sukar untuk dipertahankan.
Persimpangan ini sebenarnya berguna untuk penyuraian tradik
Sebenarnya, ramp menurun dari Jalan Aman ke Persiaran KIP 2 adalah jauh lebih berbahaya dan telah mengakibatkan pelbagai kemalangan melibatkan kenderaan sejak ia mula digunakan.
Ironinya, jalan tersebut langsung tidak wujud dalam pelan pembangunan asal. Keadaan ini berpunca daripada kegagalan pihak MPS memastikan jalan masuk yang sepatutnya disediakan bagi kawasan perumahan kami dibina mengikut perancangan.
Hanya selepas saya bangkitkan aduan tersebut lebih kurang 20 tahun lalu barulah isu akses ini diberi perhatian. Pada ketika itu, keadaan telah menjadi semakin rumit apabila pemaju projek bersebelahan Sudan membina jalan pada aras yang lebih tinggi (Jalan Aman) menggunakan struktur crib wall, sekali gus menjejaskan sambungan jalan yang dirancang sebelum ini. Akibat kelemahan perancangan dan penguatkuasaan pihak berkuasa, pemaju kami akhirnya tidak mempunyai pilihan yang praktikal selain membina ramp tersebut secara tergesa-gesa sebagai langkah penyelesaian sementara untuk memastikan akses kepada penduduk dapat disediakan.
Oleh itu, adalah tidak wajar apabila masalah keselamatan yang berpunca daripada kegagalan perancangan dan pelaksanaan pihak-pihak berkaitan kini dijadikan alasan untuk menyekat atau menghalang akses penduduk yang telah lama menggunakan laluan tersebut.


Comments
Post a Comment