Jika Tidak Mampu Berkhidmat, Berundur: Tanggungjawab YDP dan Reformasi PBT

 

DBKL: Selepas aduan diterima, hanya satu lorong diturap, yang satu lagi dibiarkan begitu 

Kerja penurapan oleh Majlis Perbandaran Selayang (MPS) gagal menepati prinsip “do it right the first time”, dengan pelaksanaan yang separa dan tidak konsisten—hanya sebahagian jalan diturap, sementara bahagian lain terus diabaikan.

Bukan sahaja Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), malah Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) kini turut tersenarai sebagai antara Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang semakin mengecewakan dalam pelaksanaan tanggungjawab asas mereka.

Trend kegagalan ini bukan lagi kes terpencil, tetapi mencerminkan masalah sistemik yang telah berakar umbi sekian lama. Keadaan ini menuntut satu reformasi menyeluruh dan berani di bawah kerangka Kerajaan MADANI yang beriltizam untuk membetulkan kepincangan institusi serta mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap sistem penyampaian awam.

Selama lebih dua dekad pentadbiran kerajaan negeri Selangor di bawah Pakatan Harapan, persoalan berkaitan disiplin kerja, kecekapan operasi dan budaya akauntabiliti dalam kalangan penjawat awam di peringkat PBT dilihat kurang diberi penekanan yang konsisten. Keadaan tadbir urus telah merosot sejak zaman Azmin Ali selaku Menteri Besar. 

Juga diakui bahawa antara tahun 2008 hingga 2022, kekangan sinergi antara kerajaan persekutuan dan negeri mungkin menjejaskan keberkesanan pelaksanaan dasar. Namun, lanskap ini telah berubah.

Dengan pelantikan Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar sebagai Ketua Setiausaha Negara atas keyakinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kini wujud ruang koordinasi pentadbiran yang lebih kukuh di semua peringkat kerajaan. Justeru, sebarang kelewatan atau kegagalan dalam melaksanakan reformasi tidak lagi boleh dipertahankan dengan alasan-alasan lama.

Perdana Menteri juga telah menyatakan khsususnya YDP yang tidak menjalankan tugas mereka demi rakyat perlu memberi ruang kepada mereka yang sanggup menjalankan tugas mereka dengan baik. 

Dalam pembuangan sampah haram  di Kawasan Perindustrian Bersepadu Rawang, misalnya, walaupun Sultan Selangor telah menzahirkan kegusaran baginda terhadap keadaan kebersihan di negeri ini, sudah setahun berlalu namun Pihak Berkuasa Tempatan yang terlibat, iaitu Majlis Perbandaran Selayang (MPS), masih gagal memberkas pelaku kegiatan haram ini untuk dihadapkan ke mahkamah dan dikenakan tindakan tegas.

Persoalannya, apakah benar tiada tindakan diambil, atau adakah wujud sikap sambil lewa dalam kalangan kepimpinan—sehingga seolah-olah pembuangan sampah haram dibiarkan berterusan kerana akhirnya akan dibersihkan oleh pihak KDEB? 

Lihat di sini. Fenomena ini menunjukkan satu kegagalan tadbir urus yang serius. Setiap kali isu timbul, KDEB sering dijadikan sasaran kritikan, namun di manakah akauntabiliti pegawai-pegawai kanan PBT? Kerja pegawai-pegawai kanan PBT senang: pantauan dibuat oleh wartawan dan blogger, yang mereka perlu buat: tuding jari kepada KDEB. Di manakah peranan penguatkuasa majlis dalam mencegah kesalahan berulang ini? 

Dekat Jalan Union U19, Sg Buloh, paip
sebegini memang menjadi halangan
arus air mengalir


Sama juga di Batu Caves

Kenapa kakitangan-kakitangan jabatan tidak memantau samada fasiliti yang sedia ada itu berfungsi dengan baik, seperti longkang yang semakin penuh dengan mendapan dan ada pula paip-paip yang dibina merintangi longkang sehingga ia mengganggu arus aliran air longkang
seperti di sini dan kawasan industri bersepadu di Batu Caves? Siapakah yang perlu dipertanggungjawabkan bila pembuangan sampah haram tidak dapat ditangani untuk masa setahun ini? Blog ini dalam bulan Jun 2025. Sudah setahun, tapi tidak ada sebarang perubahan.

Sudah setahun, keadaan masih tidak bertambah baik 

Setiap malam kutu sampah haram datang untuk membuang sampah ini di merata-rata tempat. Yang haru dipertanggungjawabkan bukannya KDEB tapi YDP dan pengarah-pengarah MPS

Rawang Integrated Industrial Park adalah tempat di mana pelawat asing akan melawat, apakah persepsi mereka terhadap PBT dan Kerajaan Negeri? 

Hakikatnya, kegagalan PBT hari ini memberi kesan langsung terhadap kesejahteraan rakyat. Di sesetengah PBT seperti DBKL dan MPS, ramai yang sudah berada di tempat yang sama terlalu lama, melebihi lima tahun dan jikalau ini dalam pasukan polis pun, ketua polis daerah (KPD) akan ditukar dari masa ke semasa. 

Ketua Setiausaha Negara mesti mengetuai pelaksanaan penggiliran pegawai kanan secara tersusun bagi mengurangkan peluang berlakunya rasuah serta mengelakkan pegawai terus berada dalam zon selesa, termasuk mereka yang jelas kelihatan bersikap sebagai 'Little Napoleons.' 

Sebagai barisan hadapan dalam menangani isu setempat—terutamanya ketika bencana seperti banjir kilat—PBT sepatutnya bertindak pantas, responsif dan berempati. Namun realitinya, aduan rakyat sering dipandang sepi, tindakan diambil hanya selepas tragedi berlaku, dan langkah pencegahan tidak dilaksanakan secara menyeluruh.

Lebih membimbangkan, kegagalan ini mencerminkan kelemahan serius dalam aspek pemantauan dan penguatkuasaan—sama ada di peringkat PBT mahupun kerajaan negeri. Portfolio kritikal seperti Yang Dipertua Majlis serta Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Kesihatan gagal menunjukkan keupayaan untuk bertindak secara proaktif, walaupun tanda-tanda awal seperti banjir kilat berulang telah lama wujud.


Rakyat Sengsara: Masalah Sama, Cuma PBT Berbeza

Realiti di lapangan membuktikan bahawa masalah ini bukan hanya terhad kepada satu kawasan. Di Sungai Buloh, khususnya di Jalan Union U19, penduduk berdepan dengan fenomena banjir kilat yang berulang—malah ada yang mencecah paras pinggang. Lebih tragis, kejadian ini telah meragut nyawa apabila seorang kanak-kanak terjatuh ke dalam longkang dan dihanyutkan arus.

-------------------------------------------------


Walaupun banjir pada hari ini tidak begitu teruk seperti lain hari di mana air sampai ke paras pinggang 

----------------------------------------

Insiden seperti ini bukan sesuatu yang berlaku tanpa amaran. Menurut penduduk setempat, isu banjir ini telah berulang kali mendapat liputan media. Maka, tidak wajar untuk mana-mana pihak, khususnya MBSA, mendakwa ketidaktahuan terhadap situasi yang menimpa komuniti tersebut.

Dalam satu insiden sebelum pandemik Kovid dulu yang melibatkan seorang budak yang terjatuh ke dalam longkang semasa banjir, mangsa itu dibawa  oleh arus air yang kuat, dan mayatnya hanya dijumpai selepas empat atau lima jam melibatkan pasukan-pasukan penyelamat. Baca beritanya di sini.

Tambahan pula, penyelesaian yang dilaksanakan nampaknya bersifat separa dan tidak menyentuh punca sebenar. Pembinaan longkang yang lebih besar, misalnya, gagal memberikan impak yang signifikan apabila pembangunan di kawasan tersebut tidak dirancang secara menyeluruh.

Terdapat dakwaan bahawa sesetengah pemaju telah menutup laluan saliran sedia ada tanpa pemantauan ketat, sekali gus menjejaskan aliran air.

Seorang penduduk turut mendedahkan bahawa pihak berkaitan seperti KDEB menghadapi kesukaran untuk menilai keadaan sebenar longkang—sama ada tersumbat atau dipenuhi mendapan—kerana akses yang terhad akibat pembinaan yang tidak terkawal. 

Ini menunjukkan satu lagi kelemahan besar dalam koordinasi antara agensi serta kegagalan penguatkuasaan terhadap pemaju yang melanggar garis panduan.

Reformasi Bukan Pilihan, Tetapi Keperluan

Kesimpulannya, rakyat tidak lagi boleh dibiarkan menanggung akibat daripada kegagalan sistem yang berulang. Reformasi PBT mesti dilaksanakan secara menyeluruh—meliputi aspek tadbir urus, kebertanggungjawaban, kecekapan operasi dan penguatkuasaan undang-undang.

Ini termasuk:

  • Memperkasa mekanisme pemantauan dan audit prestasi PBT
  • Meningkatkan ketelusan dalam pengurusan projek dan aduan awam
  • Menguatkuasakan tindakan tegas terhadap pemaju yang melanggar peraturan
  • Menilai semula pelantikan dan prestasi kepimpinan utama PBT
  • Memastikan respons pantas terhadap isu-isu kritikal rakyat

Akhirnya, reformasi yang sebenar bukan sekadar perubahan dasar di atas kertas, tetapi mesti diterjemahkan kepada tindakan yang dapat dirasai secara langsung oleh rakyat di akar umbi. 

Rakyat Selangor berhak mendapat perkhidmatan yang cekap, telus dan berkesan—bukan janji yang berulang, tetapi penyelesaian yang nyata.






Comments

Popular posts from this blog

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Darul Ehsan Sultan Sharafuddin Idris Shah

A revealing truth about myself