Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Darul Ehsan Sultan Sharafuddin Idris Shah
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Darul Ehsan Sultan Sharafuddin Idris Shah ibni Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah
Tuanku,
Patik hanyalah seorang insan yang lemah, sentiasa mengharap petunjuk dan kebijaksanaan dalam menjalani kehidupan ini.
Dengan penuh takzim, patik menyembah dan menjunjung kasih atas segala titah dan budi bicara Tuanku.
Baru-baru ini patik telah membawa rakan-rakan luarnegeri mengunjungi sebuah restoran untuk merasai nasi lemak rendang ayam yang betul-betul enak di sebuah restoran dekat Jalan Perusahaan Batu Caves 1.
Patik amat terkejut melihat keadaan longkang yang begitu kotor dan mengeluarkan bau yang amat busuk.
Walaupun sudah dibersihkan, keadaan longkang-longkang di sini tetap busuk dan menyebabkan banjir kilat yang amat teruk.
Patik difahamkan di seluruh negeri Selangor pihak KDEB hanya mampu memiliki sebuah truk Catch Basin Cleaner (CBC) untuk sedutan air kotor ini.
Oleh kerana ini, pekerja KDEB terpaksa menunggu hampir dua bulan—sehingga bulan September—sebelum menerima bantuan daripada truk jenis CBC. Patik membawakan perkara ini secara terbuka kerana enam hingga tujuh tahun ini banyak bisikan patik kepada pihak kerajaan negeri tidak diendahkan sama sekali sehinggalah beberapa tahun masalah dibawakan kepada pihak atasan sebelum ditangani oleh pihak MPS.
Hujan Sejam Dua, Banjir Kilat Teruk
Petang tadi jam 4.30ptg pada Ogos 14, 2025 bersamaan hari Khamis, patik membawa guru kelas patik semasa Darjah Enam untuk menikmati hidangan di sini.
Ketika kami tiba di restoran tersebut, hujan lebat yang berlarutan selama sejam dua baru sahaja reda.
Sekali lagi, keadaan di sekitar benar-benar mengejutkan patik, memandangkan isu banjir yang berulang sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Sebelum ini, patik hanya sekadar mendengar keluhan orang awam, namun tidak menyangka tahap keseriusannya begitu teruk setiap kali hujan lebat melanda selama sejam atau dua.
Memandangkan patik akan menerima kunjungan ramai tetamu, termasuk sanak-saudara dari Singapura dan Australia yang merancang untuk melawat Malaysia pada tahun hadapan sempena Tahun Melawat Malaysia 2026, patik terpanggil untuk mempersembahkan perkara ini ke perhatian Kebawah Duli Tuanku.
Prestasi kerajaan negeri Selangor
Hal ini demikian kerana banyak isu yang melibatkan negeri Selangor sejak enam atau tujuh tahun kebelakangan ini sering tidak menerima perhatian yang sewajarnya daripada pihak kerajaan negeri sehinggalah ianya dibawakan kepada peringkat tertinggi dalam kerajaan persekutuan.
Walaupun tujuan asal patik membuka blog ini hanyalah untuk mendokumentasikan prestasi kerja Majlis Perbandaran Selayang (MPS), yang telah patik mula pantau sejak tahun 1990-an menerusi penulisan patik dalam akhbar Malay Mail; namun dengan rasa dukacita, patik ingin menyatakan kehampaan terhadap pihak kerajaan negeri Selangor.
Masalah-masalah yang timbul bukan sahaja tidak ditangani dengan berkesan, malah kaedah pemantauan oleh pihak majlis dan kerajaan negeri dilihat sekadar bersifat lepas tangan. Misalannya, dua bonggol yang menjadi masalah di kawasan perumahan patik terpaksa patik bawakan kepada pihak-pihak atasan sebelum ianya diperbaiki. Ini memakan masa selama enam atau tujuh tahun dari peringkat terbawah sehinggalah ke peringkat tertinggi. Selepas itu, patik menggunakan kes ini sebagai pengajaran kepada semua pihak majlis supaya lebih berhemah dalam menjalankan tugas mereka.
Tetapi masalah-masalah seperti pemantauan rapi tidak dibuat oleh pihak Majlis menyebabkan masalah seperti apa yang berlaku di kawasan perusahaan Batu Caves di mana bukan saja longkangnya amat kotor dan berbau tetapi pengalaman patik petang tadi menunjukkan adanya masalah yang lebih serius dari segi pembanjiran kawasan setempat selepas sahaja hujan lebat.
Patik menjunjung kasih atas perkenan Kebawah Duli Tuanku untuk membolehkan patik mempersembahkan gambar-gambar dan rakaman video berkaitan keadaan kawasan ini setiap kali berlaku hujan lebat, berdasarkan lawatan patik pada hari ini.
Patik amat berharap agar maklumat ini dapat membantu mempertingkatkan prestasi pentadbiran negeri Selangor demi kesejahteraan rakyat negeri Selangor.

Ampun Tuanku, ini keadaan longkang sebelum hujan...
Air melimbah keluar dari longkang selepas hujan:

Ampun Tuanku, pemandangan sebegini tidak mencerminkan imej sebuah negeri yang paling makmur di Malaysia, apatah lagi sebagai pintu gerbang kepada Tahun Melawat Malaysia 2026. Untuk makluman Kebawah Duli Tuanku, guru Darjah Enam patik yang kini berusia dalam lingkungan 70-an terpaksa menggunakan tongkat dan masuk melalui pintu dapur di belakang restoran, ekoran keadaan banjir yang berlaku di hadapan premis tersebut.
Justeru, patik bersama sekalian rakyat negeri yang dikasihi ini merafak sembah memohon agar prestasi kerajaan negeri serta pihak berkuasa tempatan dapat dipertingkat dan dipertabatkan secara serius serta menyeluruh terutama sekali dalam hal kebersihan negeri Selangor, berlandaskan titah dan keprihatinan Kebawah Duli Tuanku. Ampun Tuanku, beribu-ribu ampun dipohon sekiranya sembah patik ini menyinggung mana-mana pihak.
Patik melihat bagaimana pihak SWCorp dapat mengesan pembuang sampah dengan efektif dana amat mengkagumkan patik:
Comments
Post a Comment