Kita Tegur diaorang marah, Tak Tegur Kerja tak buat
Bilakah Jabatan Kejuruteraan akan mengambil tindakan untuk membetulkan tiang lampu jalan yang semakin condong ini? Jika dibiarkan tanpa tindakan, adakah kita perlu menunggu 10 tahun lagi sehingga tiang tersebut menjadi mercu tanda baharu seperti Menara Condong Teluk Intan — bezanya, di sini ia hanyalah "Lampu Jalan Condong MPS"?
Apa yang lebih membimbangkan, pejabat cawangan MPS terletak kurang dari 100 meter dari lokasi ini. Namun begitu, tiada seorang pun pegawai yang kelihatan mengambil inisiatif untuk melaporkan atau menguruskan isu yang jelas dapat dilihat dengan mata kasar. Sering kali alasan yang kedengaran ialah, “Itu bukan tugas kami.”
Jika benar demikian, siapakah yang sebenarnya bertanggungjawab untuk melaporkan keadaan yang berpotensi membahayakan keselamatan awam ini? Adakah Ahli Majlis? Penduduk yang juga merupakan pembayar cukai taksiran? Atau adakah Pengarah Kejuruteraan sendiri yang perlu mengambil tahu mengenai perkara sebegini?
Hakikatnya, jika pengurusan Jabatan Kejuruteraan berfungsi dengan berkesan, berhemah dan proaktif, para pembayar cukai tidak sepatutnya dipaksa untuk mengemukakan aduan demi aduan sehingga perkara tersebut perlu dibawa ke perhatian Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah, Sultan Selangor, sebagaimana yang berlaku dalam isu banjir kilat berulang di Kawasan Perindustrian Bersepadu Batu Caves.
Dalam kes tersebut, hampir setahun telah berlalu, namun projek-projek yang dilaksanakan masih gagal memberikan penyelesaian yang berkesan kepada masalah banjir yang berlarutan. Alasan terkini yang dimaklumkan kepada saya ialah pihak MPS sedang berusaha mendapatkan kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Air Selangor untuk mengalihkan paip-paip utiliti yang merentangi sistem saliran.
Walau bagaimanapun, penjelasan tersebut menimbulkan persoalan yang munasabah. Sejak September 2025 lagi, saya telah melaporkan kewujudan paip-paip yang menghalang kapasiti dan kelancaran aliran longkang monsun di kawasan tersebut. Kini, setelah hampir setahun berlalu, paip-paip berkenaan masih belum berjaya dialihkan. Bagi mana-mana pemerhati yang objektif, kelewatan sedemikian sememangnya membangkitkan tanda tanya mengenai kecekapan koordinasi dan keupayaan pelaksanaan pihak yang bertanggungjawab.
Malah, saya sendiri telah membantu pihak Jabatan Kejuruteraan mendapatkan kerjasama daripada Air Selangor. Pihak Air Selangor telah menyatakan kesediaan untuk membantu proses pengalihan utiliti tersebut, khususnya selepas menerima perhatian dan surat-menyurat daripada Istana Negeri Selangor berhubung masalah banjir yang menjejaskan operasi perusahaan-perusahaan di kawasan berkenaan.
Keseluruhan keadaan ini membawa kepada satu persoalan yang lebih besar: mengapa masalah yang puncanya telah dikenal pasti sejak awal masih gagal diselesaikan dalam tempoh yang munasabah? Isu sebenar bukan sekadar sebuah tiang lampu yang condong atau beberapa paip yang merentangi longkang, tetapi budaya pentadbiran yang terlalu bergantung kepada aduan awam dan campur tangan pihak atasan sebelum tindakan yang sewajarnya diambil. Sebuah PBT yang cekap seharusnya mengenal pasti risiko lebih awal, bertindak secara proaktif, dan menyelesaikan masalah sebelum ia menjadi aduan awam atau perhatian istana.





Comments
Post a Comment