Segala keluhan dan aduan telahpun dibuat berkenaan dengan Kerajaan Tempatan (terutamanya Majlis Perbandaran Selayang) dan Kerajaan Negeri Selangor, tetapi apa berlaku?
Entahlah, sampai kepada telinga Menteri Besar pun tidak ada sebarang perubahan. Bagaimana pula Kerajaan PH akan membawa "perubahan besar" kepada negeri Selangor yang sudahpun ditakbirnya tiga penggal ini? Dua penggal untuk mengemaskini kerajaan yang ditakbir oleh BN dulu, dan penggal ketiga untuk terus maju, tapi apa yang berlaku adalah amat menghampakan.
Cuma dua orang saja yang tahu aku menyokong PH selama ini dan mereka cuba memberi serba-sedikit nasihat supaya tidak lagi keluar segala keluhan seumpama ini.
Tapi soalan saya selama ini: di mana janji-janji Kerajaan PH ingin membawa perubahan positif terhadap negara sekiranya negeri yang ditakbirnya sekarang juga tidak ditakbir dengan baik?
Adakah Rakyat Sudah Tertipu?
Masalahnya adalah ahli politik pandai meraih simpati orang ramai. Misalannya, bila Anwar Ibrahim akan disumbatkan ke dalam penjara, semua, termasuk aku, keluar menyokong.
Sekarang pula Jibbi dan Zahid, serta Romah akan disumbat ke dalam penjara. Orang BN akan melaung, "Keadilan untuk Bosku! Keadilan untuk Zahid!" Yang pakai cincin tak perlu peduli.
Sama jer dengan waktu Anwar dipenjarakan. Cuma orangnya bertukar ganti.
Tapi, jikalau anda yang masuk penjara, mungkinkah Anwar atau Jibbi turun padang untuk menuntut keadilan untuk kamu? Tidak mungkin. Jadi di mana keadilan?
Lihatlah Sendiri
Dua tahun lalu saya menulis lebih kurang 10-15 surat kepada Majlis Perbandaran Selayang berkenaan dengan pelbagai masalah.
Semua surat-surat ini kemudiannya disalinkan kepada setiap peringkat kerajaan tempatan dan kerajaan negeri. Bermula dengan Unit Aduan MPS, kemudian kepada Ketua Jabatan, Ahli Majlis berturut-turut (Ng Wei Keong dan sekarang ini Calvin Cheong), Yang Dipertua MPS, Ahli Dewan Undangan Negeri Elizabeth Wong, Ahli Parlimen Tony Pua, dan selepas itu Ahli Exco Negeri Ng Sze Han dan Menteri Besar Selangor, Amirruddin Shaari.
Tidak seorang pun cuba mengambil tahu. Semuanya pekak saja. Seminggu sudahpun berlalu dan tidak ada sebarang tindakan yang diambil untuk memperbaiki prestasi kerja MPS.
Apabila saya menulis blog post ini, saya menerima banyak galakan dari ramai rakan-rakan saya kerana mereka pun setuju Kerajaan Negeri Selangor yang sudahpun ditakbir penggal ketiga ini tidak ada keadaan yang bertambah baik, malah bertambah buruk.
Satu Contoh Ini Pun Cukup
Tidak perlu saya sebutkan persimpangan untuk kenderaan dari 4 hala menuju masuk ke dalam satu jalan. Itu kemudian hari, tapi sehingga ini, pihak Majlis tidak mengindahkan aduan yang dibuat. Walaupun ini sudahpun dilapurkan kepada pihak Kerajaan Negeri sehingga peringkat Ahli Exco dan Menteri Besar, sampai sekarang tidak ada satu pun tindakn yang diambil untuk memperbaiki pengurusan trafik.
Sila lihat sendiri. Kenapa begitu banyak kon diletakkan ditengah jalan? Sebelum ini tong besar pula! Adakah munasabah satu persimpangan yang tidak sibuk seperti ini dijadikan sedemikian, oleh kerana ada orang yang ingat dia itu bos taman perumahan ini? Dan, kenapa pula sebahagian jalan lebih kurang 20 m tiba-tiba diluluskan dan dijadikan jalan sehala tapi lain-lain jalan tidak pula dibuat demikian?
Di manakah parkir kereta untuk kawalan sekuriti di sini? Sekiranya tidak ada ruang, bagaimana pihak Kerajaan Negeri mahupun MPS meluluskan kawalan sekuriti? Bolehkah kerajaan negeri meluluskan kawalan sekuriti dekat dengan jalan besar kerana tidak adanya tempat parkir? Tidakkah ada tempat yang lebih sesuai? Kalau pelawat ingin masuk ditanya pula pengawal, dan kenderaannya menyebabkan 3-5 kereta menunggu di belakang sehingga jalan besar juga jadi sesak dan kenderaan cuba pula memotong mengikut jalan keluar untuk masuk taman.Ini tidak mengikut peraturan lalulintas, boleh tutup mata.
Di mana kotak kuning di persimpangan ini untuk memastikan tidak ada kenderaan di jalan besar yang menyekat keluar masuk kenderaan? Semua ini telahpun ditulis secara terus-terang kepada pihak Majlis dan dibincangkan dengan Calvin Cheong, tapi apa jadinya? Oh, satu satu pengadu. Tapi kalau peraturan lalulintas seperti kota kowboi ini boleh diluluskan majlis dan kerajaan negeri, maka tidak lagi ada gunanya sebarang bylaw. Semuanya ikut sukahati MB, Ahli Exco, ADUN, Ahli Parlimen, Ahli Majlis, Yang DiPertua Majlis, dan sebagainya. Inikah cara pentakbiran kerajaan negeri Selangor yang terbaik?
Kemudian lihat pula kon yang menghalang kenderaan masuk ke lorong ini. Siapakah yang meluluskannya? Ahli Majlis Calvin terus buat tak tahu. Kerana kenderaan tidak dapat masuk, ia menyebabkan kesesakan apabila ada kenderaan pelawat ditahan oleh pengawal. Kerajaan kowboi, jadilah taman perumahan kowboi juga.
Selepas jam 12 malam pengawal mula tidak beri penduduk masuk ikut jalan ini walaupun mereka tinggal satu atau dua rumah saja. Dengan keadaan trafik yang kurang pada waktu malam, pengawal juga diarahkan oleh pengerusi persatuan penduduk tidak buka gate untuk pemilik rumah masuk. Siapakah yang meluluskan? Kalau bukan Majlis ataupun Ahli Majlis, kenapa pula Menteri Besar Selangor sendiri tidak ambil tahu?
Sila lihat: kenapa di sini banyak bonggol. Apa gunanya? Kalau untuk kurangkan laju kenderaan masuk ke dalam taman, di mana logiknya????? Kan kenderaan sudah berhenti sebelum palang ini dinaikkan? Tak fikirkah YDP Majlis? Kenapa pula bonggol sebegitu tinggi sehingga merosokkan kenderaan yang rendah deknya seperti kereta Honda? Ahli Majlis bukannya tak tahu. MPS yang bina, bukan? Kalau bukan, kenapa dibenarkan pula?
Inilah satu sebabnya saya amat hampa dengan kerajaan Selangor kini, terutama dengan mereka yang terlibat dan ada kaitan dengan kes ini. Tiada beza dengan kerajaan Selangor waktu BN dulu. Aduan dibuat kepada ADUN Elizabeth Wong dan Ahli Parlimen Tony Pua pun tidak ada sebarang tindakan, kerana senang saja cara mereka: tutup mata, tutup telinga, boycott. Sementara itu, keadaan sampah sarap di seluruh kawasan perumahan teruk sekali. Di mana pengawasan oleh pihak Majlis?
Biar mereka buat demikian, boycott pengadu, tapi bila tiba PRU, lihat siapakah akan buat kempen minta rakyat menolak Kerajaan PH. Adun-Adun yang prihatin dan saya hormati, fahamlah apa yang berlaku dan minta mereka yang tidak buat kerja ini undur diri. Jika tidak, yang menyokong selama ini juga ramai yang akan menolak Kerajaan PH. Kita tunggu saja waktunya.
Walaupun kita sokong PH di kerajaan persekutuan, yang tidak buat kerja ini jika dimasukkan ke peringkat nasional habislah PH juga akhirnya. Mereka inilah yang mimpi rakyat akan selalu dan terus menyokong mereka.
Comments
Post a Comment