Warkah Terbuka Mempersembahkan Cadangan kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Berkenaan Penubuhan Unit Mata dan Telinga Istana di Negeri Selangor Darul Ehsan
Kehadapan Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj,
Sultan dan Yang di-Pertuan Negeri Selangor Darul Ehsan serta segala daerah takluknya.
Ampun Tuanku, Beribu-ribu Ampun.
Sembah patik menjunjung kasih di atas limpah kurnia dan ihsan Duli Yang Maha Mulia Tuanku dalam menaungi rakyat jelata di bumi Selangor yang bertuah ini. Doa patik dan sekalian rakyat agar Duli Yang Maha Mulia Tuanku sentiasa berada dalam lindungan Allah SWT, dilanjutkan usia, dan kekal bersemayam di atas singgahsana takhta kerajaan Negeri Selangor Darul Ehsan dengan penuh kedaulatan.
Ampun Tuanku,
Tujuan patik mengutus warkah ini adalah dengan keikhlasan yang suci dan murni, bagi memohon limpah perkenan Tuanku agar dapat mempertimbangkan penubuhan satu pasukan pemantau khas dari pegawai istana yang bertindak sebagai mata dan telinga Tuanku. Tugas mereka adalah untuk memastikan pentadbiran negeri Selangor dijalankan dengan baik dan penuh wibawa, untuk menjaga prestasi negeri Selangor sebagai sebuah negeri termaju di Malaysia.
Pasukan ini kelak diharapkan dapat menyembah maklum secara berkala mengenai denyut nadi rakyat dan kemelut yang berlaku di peringkat akar umbi, supaya setiap rintihan rakyat dapat ditangani dengan tuntas.
Antara perkara yang amat memilukan hati patik dan rakyat jelatat walaupun Tuanku telah menzahirkan perasaan Tuanku berkenaan dengan sampah haram di selurun negeri Selangor, namun di banyak tempat, keadaan masih tidak berubah.
Ampun Tuanku:
• Isu pembuangan sampah haram di Kawasan Perindustrian Bersepadu Rawang:
![]() |
| https://maps.app.goo.gl/FDFpHAGuHAduVZd57?g_st=ic |
Patik melihat perbezaan yang ketara antara ketegasan SWCorp yang sanggup melakukan intipan (stake-out) pada waktu malam demi memberkas petualang ini, berbanding dengan penguatkuasaan pihak berkuasa tempatan yang seolah-olah tumpul taringnya dalam isu ini. Tanpa penguatkuasaan sebegini, kutu sampah haram akan terus lakukan perbuatan mereka yang terkeji.
• Ketidakadilan dalam Penguatkuasaan:
Rakyat berasa terkilan apabila aduan yang diberikan dibalas dengan tindakan yang membebankan pengadu sendiri. Sebagai tamsilan, seorang pengusaha restoran di Batu Caves yang hanya menyuarakan keluhan mengenai pengoperasian semula operasi cuci kereta di lorong belakang yang menghalang lori punggahan barang, namun akhirnya pengadu pula yang dibebani dengan saman atau tekanan administratif. Hal ini amat mendukacitakan. Hal yang sama pernah dizahirkan bahawa pengusaha Restoran Sabik yang menulis kepada pihak MPS pula didatangani dua van ahli-ahli penguatkuasa untuk memeriksa premisnya sehingga beliau takut untuk membuat aduan.
Sementara pembuangan sampah haram terus berlaku di kawasan Industri Bersepadu Rawang berterusan sehingga hari ini tanpa adanya berita bahawa kutu sampah telah pun dihadapkan ke mahkamah, pengusaha restoran yang memberi maklumbalas bahawa operasi mencuci kereta dan lori panjang sudah kembali, pengusaha restoran ini pula dikenakan kompaun RM2000 kerana tong isi minyak masakan yang kosong di belakang restoran mereka, yang sebenarnya bukan sampah pun kerana tong-tong ini diperlukan untuk mengisi minyak masakan yang akan dikitar balik oleh pihak pengutip minyak masakan dalam jadual berkala.
Blog ini patik sediakan untuk dikongsikan kepada YDP serta pengarah-pengarah MPS tetapi tidak berkesan: https://surat-terbuka-mb-selangor.blogspot.com/2025/08/selangor-perlu-belajar-dari-swcorp-dan.html?m=1
• Sikap Keangkuhan dan Ketidakpedulian:
Bukan sahaja dalam kes ini, tetapi patik juga melihat adanya segelintir pihak yang bersikap seolah-olah mereka ini kebal atau tidak boleh ditegur. Contohnya di Plaza Tol Sri Damansara, di mana kewujudan lorong RFID kedua sepatutnya memudahkan urusan, namun dek kekurangan pemantauan oleh pihak Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan syarikat pelaburan Amanah Rakyat Berhad (ARB) sebagai badan pelaburan menyebabkan perkara ini telah berpanjangan sejak surat terbuka saya pada 29hb Januari 2026 bulan. Sejak itu saya telah cuba menulis kepada LLM, Menteri Kerja Raya serta masukkan ke dalam SISPAA pada 18hb March 2026, namum tidak berbalas sementara pihak Amanah Rakyat Berhad pula memberi jawapan bahawa mereka tidak ada kuasa terhadap ketua pegawai eksekutif Litrak, walaupun ini anak syarikat mereka. Jikalau mereka tidak dapat menegur, dan tidak ada orang yang dapat menegur, patik berasa amat dukacita kerana ramai yang memang tidak tahu adanya lorong RFID kedua yang memang tersorok.
![]() |
| Sekiranya Tuanku toleh ke atas, dan perhatikan lama-lama, akan ternampak logo MyRFID. |
Tuanku, sementara itu, yang sering berlaku adalah insiden kenderaan mengundur yang membahayakan di satu lorong RFID. Oleh kerana patik sudah tahu adanya lorong RFID kedua selepas beberapa kali mencarinya, sekarang patik tidak lagi perlu menggunakan lorong RFID yang pertama, namum ramai yang tidak tahu wujudnya lorong RFID. Selama dua bulan saya berusaha untuk meminta Ketua Pegawai Eksekutif Litrak untuk membuat satu petanda yang memaparkan lorong RFID kedua, sehingga kini tidak sebarang surat saya diberi me, sementara pihak Litrak hanya memberitahu mereka menunggu kebenaran daripada LLM untuk papan petanda itu diluluskan. Oleh kerana plaza-plaza tol ini terletak dalam negeri Selangor, demi menjaga kelestarian rakyat Selangor, Tuanku boleh bertanyakan kepada pihak-pihak tertentu kenapa perkara sekecil ini tidak dapat dilaksanakan dengan penuh wibawa. Apabila rakyat cuba membantu memberi kesedaran, teguran tersebut sering dipandang sepi atau disambut dengan keangkuhan.
Semua masalah yang dialami oleh rakyat negeri Selangor akan diketahui Tuanku sekiranya unit istana ini dapat ditubuhkan untuk mendapat maklumat terkeni berkenaan dengan kelestarian rakyat negeri Selangor, dan patik berharap ini akan dapat memperkukuhkan lagi kerajaan negeri Selangor dan memastikan pentadbiran yang sedia ada terutama sekali di peringkat Kerajaan Negeri dan Kerajaan Tempatan akan dapat dipermertabatkan. Ketuanya amat penting. Jikalau ketuanya mempunyai jiwa rakyat samada sebagai YDP mahupun menteri besar atau ahli exco kerajaan negeri, maka warga penjawat awam di bawah penyeliaan mereka akan mencontohi tauladan mereka. Kadang-kadang pengarah-pengarah dalam satu-satu pentadbiran itu akan berlaku angkuh apabila mereka tahu tidak sesiapa pun yang dapat menyentuh mereka.
Ampun Tuanku,
Rakyat jelata menjunjung tinggi dan meletakkan kepercayaan yang tidak berbelah bahagi kepada institusi Diraja. Patik percaya bahawa dengan campur tangan dan kewibawaan Tuanku, pihak-pihak yang lulas dalam menjalankan amanah seperti penguatkuasa MPS akan kembali berintegriti. Biarlah Selangor ini bersih bukan sekadar pada nama, tetapi pada tindak-tanduk aparaturnya.
Sesungguhnya, hanya kepada Tuanku tempat kami mengadu apabila suara kami tidak lagi didengari oleh pihak birokrasi. Semoga Selangor terus makmur di
bawah naungan Tuanku.
Ampun Tuanku, Beribu-ribu Ampun.
Patik yang menjunjung titah,
(Nama Anda)
Rakyat Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor




Comments
Post a Comment