Selangor dan Krisis Kebersihan: Satu Renungan Tentang Reformasi
Selangor sering digambarkan sebagai negeri termaju di Malaysia, pintu masuk utama pelancong antarabangsa, dan pusat ekonomi yang dinamik.
Namun di sebalik imej moden itu, masalah kebersihan yang berlarutan terus mencalar maruah negeri. Keadaan di Kawasan Perindustrian Bersepadu Rawang menjadi contoh nyata: meskipun kemurkaan Sultan Selangor pernah dizahirkan kurang dari sebulan lalu, dan undang-undang anti-sampah telah dikuatkuasakan, keadaan di kawasan tersebut tidak menunjukkan sebarang perubahan yang bermakna. Lihat gambar-gambar dalam pos di sini yang bertarikh 8hb September 2025.
Sekarang bandingkan dengan gambar-gambar yang diambil pada 8hb January 2026. Apa bezanya? Memang ada masalah di peringkat Kerajaan Tempatan dan Kerajaan Negeri, di mana langkah-langkah untuk mencegah pembuangan haram gagal menangani masalah. .jpeg)
Perlu Bertekad and Usaha Lebih Kuat
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Negeri, Datuk Ng Suee Lim dalam satu sidang akhbar mengatakan bahawa Kerajaan Selangor berikrar untuk mengambil tindakan segera bagi menangani isu kebersihan selepas Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan kebimbangan mendalam terhadap keadaan kebersihan negeri yang semakin merosot.
Walaupun beliau mengakui kelemahan yang wujud dan akan bertindak tanpa berlengah, perkara ini tidak boelh diabaikan. Kami sebagai rakyat Selangor ingin tahu apa yang dilakukan oleh Ng dan Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shaari untuk menambahbaikkan kebersihan di negeri Selangor Darul Ehsan, terutama sekali apa yang diperhatikan tujuh ke lapan tahun ini dalam blog ini, masih tidak ada sebarang perubahan.
Seperti biasa, sampah di Kawasan Industri Bersepadu Rawang masih berlonggok, sistem pengurusan sisa tidak teratur, dan imej kawasan industri terus tercemar. Mungkin pihak kerajaan negeri Selangor dan Majlis Perbandaran Selayang langsung tidak menendahkan blog ini, tapi sekurang-kurangnya YDP, Ahli Exco dan Menteri Besar perlu sering turun ke tapak untuk memastikan sampah pukal sebegini tidak berlaku lagi.
Ahli-ahli majlis dalam kawasan-kawasan ini harus ditukar serta merta, dan orang baru dilantik supaya mereka lebih peka kepada masalah pembuangan sampah. Sewaktu Lee Khai Loon menjadi ahli majlis, saya kagum dengan cara beliau menguruskan pembuangan sampah ke dalam kawasan perkuburan Cina oleh orang asing dari benua Afrika di sebuah kondo. Sekarang Lee sudah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machang Bubuk, di Pulau Pinang.
Jika negeri Pulau Pinang dapat bertambah baik prestasi kebersihannya, kenapa kerajaan negeri Selangor tidak dapat sedangkan kedua-duanya adalah di bawah sebuah kerajaan yang sama.
Masalah ini tidak boleh dipandang ringan. Selagi kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan — dengan segala watak dan karakternya — tidak bekerja lebih keras, Selangor akan kekal sebagai salah satu negeri paling kotor di negara ini. Pentadbiran yang sekadar “menggaru permukaan” demi menyenangkan hati pihak tertentu hanya menambah parah keadaan. Hakikatnya, kebersihan adalah asas kepada kesejahteraan rakyat dan imej negeri, bukan sekadar isu kosmetik.
Sementara Kerajaan Selangor melarang kegunaan kotak polistairin untuk makanan yang dibawa keluar dari restoran, kotak-kotak polistirin masih dibenarkan di seluruh negara. Pembuangan kotak-kotak ini juga menyebabkan takungan air jika dibiarkan begitu saja. Baca blog ini https://surat-terbuka-mb-selangor.blogspot.com/2024/02/in-selangor-it-is-like-right-hand-not.html
Pintu Masuk Utama untuk Tahun Melawat Malaysia 2026
Lebih membimbangkan, Selangor merupakan pintu masuk utama pelancong antarabangsa. Usaha kerajaan untuk meningkatkan kedatangan pelancong akan menjadi sia-sia jika mereka melihat sendiri betapa kotornya negeri ini. Imej negara tercalar, keyakinan pelancong terhadap Malaysia terjejas, dan ekonomi pelancongan yang diharapkan tidak akan berkembang. Kebersihan bukan sahaja soal kesihatan awam, tetapi juga soal maruah dan daya saing.
Dalam konteks ini, reformasi institusi amat diperlukan. Majlis perbandaran yang lemah dan tidak berfungsi dengan baik mesti diperbaiki melalui perubahan struktur, budaya kerja, dan mekanisme pengawasan. Tanpa reformasi di peringkat institusi, segala usaha kebersihan hanya akan menjadi retorik tanpa hasil. Negeri yang kaya dengan sumber dan peluang tidak seharusnya bergelut dengan masalah asas seperti pengurusan sampah.
Lebih menyedihkan, kegagalan ini berlaku selepas hampir dua dekad pemerintahan Pakatan Harapan di Selangor. Negeri yang sepatutnya menjadi model pentadbiran bersih dan cekap kini berdepan dengan masalah kebersihan yang kronik. Inilah kegagalan nyata, dan ia adalah satu keaiban. Apa gunanya slogan pembangunan jika asas kebersihan pun tidak mampu dijaga?
Menanti pelancaran insinerator atau apa yang sekarang diberi jenama baru iaitu sisa-ke-tenaga (waste-to-energy) seakan-akan itulah penawar segala masalah adalah jalan yang sia-sia. Negeri-negeri Barat telah pun kembali kepada asas yang murni — pemisahan sisa dan kitar semula. Setelah 18 tahun berlalu sejak mengambilalih kerajaan Selangor, barulah sekarang kerajaan Selangor memperkenalkan projek kitar semula secara besar-besaran. Namun, usaha ini tidak akan berhasil melainkan diberi penekanan yang teguh demi menjamin kejayaan yang sebenar. Misalannya setiap rumah perlu mengasingkan bahan-bahan kitar semula dari sampah sarap; jika tidak, projek ini hanya sekadar mengaru permukaan.
Rayuan Sekali Lagi
Oleh itu, saya merayu kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor dan juga Perdana Menteri Malaysia untuk mengambil tindakan segera terhadap reformasi kerajaan negeri dan tempatan di Selangor dengan perlantikan orang-orang baru demi memastikan negeri Selangor terus ditadbir dengan baik dan sokongan rakyat Selangor akan terus bersama dengan kerajaan Pakatan Harapan. Tanpa pertukaran watak-watak yang sedia ada sekarang, Kerajaan PH di Selangor akan mengalami kemerosotan undi rakyat Selangor. Pilihanraya Negeri yang lalu jelas ternampak bahawa PH telah hilang dua-pertiga di bawah Amirudin, dan sekiranya ini berterusan, masanya akan tiba kerajaan Selangor akan jatuh semula kepada pihak pembangkan. Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku pengerusi Pakatan Harapan tidak boleh membenarkan ini terus merosot.
Fokus harus diberikan kepada penambahbaikan kemudahan asas negeri — sistem pengurusan sampah, kebersihan awam, dan penguatkuasaan undang-undang — bukan sekadar memperkayakan lagi dana negeri dengan cadangan-cadangan seperti mengutip bayaran dari Indah Water Konsortium (IWK) yang akhirnya juga akan membebankan rakyat Selangor, terutama mereka yang dalam golongan warga mas.
Reformasi yang sebenar mesti menekankan kesejahteraan rakyat dan imej negeri, bukan sekadar projek besar yang menguntungkan segelintir pihak.
Sila lihat gambar-gambar sampah merata-rata tempat yang masih dibuang seperti biasa dalam hantaran blog ini:
https://surat-terbuka-mb-selangor.blogspot.com/2026/01/berapa-lama-sejak-baginda-sultan.html




Comments
Post a Comment