Longkang di Selangor dan sampah pukal perlu dibersihkan
KERAJAAN Negeri Selangor perlu bersiap sedia untuk menjaga kebersihan di setiap kawasan yang di bawah pusat berkuasa tempatan menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.
Pelancong tidak mahu melawat negeri Selangor dan mendapati ianya amat kotor sekali dengan sampah-sampah dan longkang-longkang yang busuk dan tidak dibersihkan.
Kebersihan itu adalah tanggungjawab bersama, bukannya hanya setakat syarikat pembersihan KDEB.
Selama ini, saya tidak pernah pun membaca dalam suratkhabar sebarang rungutan oleh ahli exco mahunpun Menteri Besar Selangor.
Mungkin Microsoft Co-pilot silap, tapi apabila saya bertanyakan kepada applikasi ini, jawapan dari Co-pilot adalah:
Setakat ini, tiada aduan awam terkini daripada Menteri Besar Selangor atau exco negeri yang secara khusus menyentuh isu kebersihan atau tahap kekotoran di Selangor. Walau bagaimanapun, kebimbangan terhadap pengurusan bandar—seperti kontroversi berhubung penswastaan tempat letak kereta menerusi sistem Selangor Intelligent Parking (SIP)—telah mencetuskan bantahan awam, khususnya di Petaling Jaya, apabila penduduk mendesak kerajaan negeri untuk menilai semula langkah tersebut.
Walaupun isu ini tidak berkaitan secara langsung dengan kebersihan, ia mencerminkan rasa tidak puas hati terhadap perancangan bandar dan perkhidmatan pihak berkuasa tempatan.
Sila baca blog ini: https://surat-terbuka-mb-selangor.blogspot.com/2025/07/longkang-di-selangor-dan-sampah-pukal.html Tidak seorang pun yang peduli.
Di manakah REFORMASI Kerajaan Negeri Selangor selama ini sejak dari tahun 2008?
Apabila ditujukan aduan berkenaan dengan sebuah longkang di Lorong Perusahaan 3, Batu Caves, saya difahamkan aduan tersebut akan hanya disantuni pada bulan September.
Itu pun tidak pasti semada cara pembersihan longkang tersebut dapat diatasi dengan hanya truk cbc tersebut.
Saya juga difahamkan bahawa truk cbc tersebut yang hanya satu itu terpaksa dikongsikan untuk semua PBT di seluruh negeri Selangor.
Saya amat sedih melihat gambar ini di mana pekerja KDEB perlu turun ke dalam longkang untuk pembersihan sampah secara manual. Ini abad ke-21. Selalunya, bila aduan dibuat PBT dan kerajaan negeri akan menyalahkan syarikat lantikan mereka KDEB mahupun orang awam yang membuang sampah seolah-olah sikap pihak PBT dan kerajaan negeri tidak boleh ditegur.
Andaikata pihak KDEB tidak mempunyai bajet yang besar untuk membeli truk sedutan untuk membersihkan longkang-longkang yang kotor dan busuk ini, kenapa perkara ini tidak diambil berat oleh Menteri Besar Amiruddin Shaari mahupun ahli exco kerajaan negeri Selangor Ng Suee Lim?
Kerajaan negeri Selangor antara negeri yang terkaya di Malaysia, tapi pentadbirannya amat lemah sehingga truk sedutan untuk pembersihan longkang-longkang kotor dan berbau busuk pun tidak dapat dibuat dalam jangkamasa terpendek.
JIKA BENAR, truk tersebut hanya satu saja, adakah ini akan mengatasi longkang-longkang yang bertakungan dengan air yang tidak mengalir?
Saya juga difahamkan bahawa persimpangan dekat jalan masuk Perindustrian Batu Caves ini selalu kena banjir kilat tetapi kenapa perkara in tidak diselesaikan selama ini oleh Majlis Perbandaran Selayang atau Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor? Bila banjir kilat berlaku, sampah pasti akan dihanyutkan ke dalam longkang menyebabkan longkang sumbat.
Adakah Menteri Besar mahupun Ahli Exco Kerajaan Negeri turun tapak untuk melihat dengan mata sendiri pembuangan sampah merata-rata tempat dan longkang-longkang di negeri Darul Ehsan ini yang cukup kotor sekali?
Sekiranya kerajaan negeri Selangor tidak menjalankan tugasnya dengan baik untuk memantau PBT-PBT berkenaan, kita sebagai rakyat perlu menukar kerajaan ini yang sudah dua dekad mentadbir.
Saya sarankan jika dalam masa tiga bulan ini tidak ada sebarang perubahan, Perdana Menteri YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu tukar semua dalam exco kerajaan negeri sebelum terlambat dan negeri Selangor jatuh ke tangan pembangkang. Pilihanraya negeri untuk penggal ini telahpun menunjukkan ketidakpuasan rakyat Selangor terhadap kerajaan Pakatan Harapan yang ada sejak tahun 2008.
Comments
Post a Comment